Menjelajah Usia

This is the post excerpt.

Advertisements

Hidup adalah seperti lautan yang terbentang luas. Cabarannya seperti ombak yang datang dan pergi. Tak pernah berhenti. Tidak tahu letih. 

Kita seperti kapal yang berlayar. Terus berlayar tanpa tahu di mana noktahnya, di mana perhentiannya, di mana tempat berlabuh.

Apakah bisa selamat? Atau karam di pertengahan? 

Apa yang pasti, setiap pelayaran membawa 1000 cita-cita. Di celah-celahnya pula terselit juga rasa bimbang. Dan pada setiap kebimbangan itu, ada harapan dipautkan kepada Pemilik lautan, mudah-mudahan semuanya selamat sejahtera.

Takkan Rugi Orang yang Berhijrah

Tanggal 14/9…akhirnya ku kotakan janjiku… Ku berlalu meninggalkan desa itu bersama sekalung permata hatiku. 

Tekadku bulat. Ku tak berpaling lagi. Dan pelangi muncul mengiringi perjalanan mengubati hati, mengundang doaku buat semua. Moga kalian bahagia. Moga semua bahagia. Mungkin tempat ku bukan di sini. Ku beralah buat mencari bahagia ku sendiri. 

Dan kini, di sini ku berlabuh buat masa ini sehingga ke suatu masa hanya Dia Yang Maha Mengetahui. 

Boleh jadi serba kekurangan itu yg membaluti kami di sini. Itu tidak kami peduli. Bahagia bukan pada harta benda. Bahagia itu di hati. Bahagia itu di minda. Bahagia itu ada di mana-mana asal saja tenang itu beraja di jiwa. 

Semoga kalian semua juga beroleh bahagia yang kalian cari. 

Andai Sudah Tiba Masa

Ku bertahan. Sekian lama ku bertahan. Kerana insan-insan lain yang ku sayang, maka ku bertahan. Apalagi demi anak-anak kecil yang belum mengerti sebuah kehidupan. 

Namun apa dayaku. Ketika ku berjuang untuk bertahan, sakit ini kian parah. Kian merosak jiwa. Aku kian lemah. Kian ditelan ombak dunia. Kian hanyut entah ke mana-mana. 

Ternyata aku harus pergi. Pergi demi kebaikan diriku. Aku tidak mahu terus menunggu hingga diriku rosak parah lalu mencetus kerosakan bagi yang lain pula. Harapanku semoga perginya aku ketika ini, supaya kembali ku nanti membawa sejuta cahaya, sejuta kebaikan, sejuta cinta untuk ditebarkan. 

Allahumma Aamiinn. 

Ku Ingin Berlari

Pada saat ini, ketika ini… Di kala kecewa membelenggu… Ku ingin lepaskan segalanya. Ku ingin berlari. Jauh…. Dan jauh dari yang segala yang ada di sekelilingku. Berlari dan membiar segalanya berlalu. 

Aku tidak ingin kamu atau kamu atau kamu. Kamu semua. Aku cuma mahu berlari. Keluar dari sini. 

Sudut Pandanganmu, Sudut Pandanganku

Seringkali manusia bertelagah mahu memenangkan pendapat sendiri. Pendapat siapa lebih benar menjadi pertikaian. 

Tiada siapa yang benar. Tiada siapa yang salah. Selama Allah Yang Maha Esa menjadi satu-satunya sembahan, selama Muhammad itu diakui pesuruh Tuhan, selama tidak menyalahi undang-undang-Nya, maka usahlah kita meletakkan hukum sewenang-wenangnya ke atas yang lain. 

Hidup ini ada pelbagai sudut pandangan. Sudut pandanganmu belum tentu sama dengan sudut pandanganku. Bisa saja sudut pandanganku ini dari ruang belakang. Dan bisa saja sudut pandanganmu dari ruang hadapan. Atau ruang lain yang memberi sudut pandangan yang berbeza dari kedua-duanya. 

Apapun, tiada guna bertelagah membuang masa berbicara siapa benar siapa salah. Kebenaran hakiki itu milik Allah. Kita hanya perlu terus berusaha agar sampai kepada-Nya. Dia yang akan menunjukkan jalan-Nya. 

Ujian itu Latihan 

Apa kita cari di sini? Apa mahumu?

#Ku mencari kekuatan untuk kubebaskan jiwa yang lama terkurung ini supaya ia bisa mencapai kemenangan dan ketenangan yang ia dambakan. 

Ya, semua itu akan muncul dengan latihan. Tidak ada jalan mudah untuk itu. Harus kau lalui latihan demi latihan yang tanpa henti. Latihan yang berterusan. 

# Di mana hendak ku cari latihan itu? 

Tidak perlu cari jauh-jauh, ia ada dalam kehidupanmu, di sekelilingmu. Kamu mulakan dengan yang ada di sekelilingmu. Selesaikan apa yang ada di sekelilingmu. Nanti akan datang yang lebih besar lagi. Selesaikan tanggungjawabmu yang di sekelilingmu. Baru nanti kamu akan melangkah lebih jauh lagi. Bagaimana mungkin kamu bisa melangkah sedang di kakimu ada belenggu? 

Meneliti Diri

Pernah begini ☝?  … Tidak?? Kamu lupa… Kita pernah berbuat begini walaupun tanpa memegang kanta seperti itu. Bahkan seringkali. Bila? Apabila kita melihat diri orang lain, lebih-lebih lagi apabila kita dengan sengaja mencari-cari kelemahan mereka. Hal yang jelek itukan mudah sekali dikesan oleh nafsu. Bahkan dengan tidak perlu bersusah payah. Ada saja yang tidak kena di mata. 

Manusia itu melalui perjalanan hidupnya, dia sentiasa  belajar. Tidak kira apa lapangan. Proses belajar itu berterusan. Tujuannya mencapai insan kamil. Walaupun menjadi kamil itu mustahil kerana sebagai makhluk, kita tidak sempurna, apa yang penting kita terus berusaha. 

Apabila matlamat kita menjadi insan kamil, maka yang diteliti itu adalah kelemahan diri kita sendiri untuk kita perbaiki. Sebaliknya kelemahan orang lain itu pula kita pandang sebagai peluang kita berbuat kebaikan. Manakala kelebihan pada diri kita itu adalah milik Allah dan Allah pinjamkan kepada kita supaya dengannya kita berbuat kebaikan kepada yang lain. Itu amanah. Kelebihan pada orang lain pula adalah untuk kita pelajari dan saling menghargai. 

Di dalam suatu komuniti itukan mustahil semuanya menjadi presiden. Atau semuanya menjadi setiausaha. Atau semuanya menjadi akauntan. Masing-masing akan mengambil peranan masing-masing yang sesuai dengan kelebihan masing-masing. 

Ya! Saya tidak mengatakan ianya mudah. Bahkan sebenarnya sulit lantaran hal yang baik itu sentiasa saja ada halangannya. Berusahalah!!!  Usah pernah kecewa. Walau jatuh, bangun lagi dan teruskan berlari. 

Jiwa Yang Bebas Tidak Merasa Terikat Dengan Makhluk.

Siapa makhluk? Pada tubuh kita saja sudah ada macam-macam makhluk. 

Apa yang kau fikir??? Bersihkan fikiranmu. Yang kumaksudkan adalah organ-organ yang Allah amanahkan kepada kita. Bukan sekadar untuk diguna, bahkan mesti dijaga dan dipulihara.

Siapa? Mata, telinga, mulut, hidung, kulit, tangan, kaki, jari jemari, rambut, lutut. Itu yang kelihatan. Belum lagi yang tersembunyi. Otak, paru-paru, jantung, hati, perut, buah pinggang, usus. 

Itu saja? Sudah habis? Takkan pernah habis. Terlalu banyak untuk diperincikan. Ambil saja otak sebagai contoh. Sudah kenal otakmu sendiri? Pada otak sahaja ada bahagian-bahagian yang Allah jadikan berpasang pasangan kecuali satu iaitu pineal. Suatu kelenjar hormon yang tidak ada pasangan seperti bahagian-bahagian lain. Pada otak ada serebrum, sereblum, medula ablongata, talamus, hipotalamus….. Aaah… Panjang bila hendak disenaraikan. Sedangkan maksud ku menulis bukan menghurai perihal otak. 

Apa yang ingin ku nyatakan bahawa semua yang ada pada diri, pada tubuh dan sekeliling kita itu semuanya makhluk kecuali Allah. Dia Khalik. Hanya Allah Khalik al-Haq. 

Tunduk kepada Khalik bisa membebaskan jiwamu dari merasa terikat dengan makhluk. Jiwa yang bebas bisa terbang tinggi. Dan akan lebih tinggi lagi bila terlepas dari jasadnya nanti. 

Ku Ingin Melaung Tapi Tak Ingin Diketahui 

Dua keinginan yang berbeza. Saling bertolakan. Wanna be heard but don’t wanna be discovered. Konflik yang sering hadir dalam diri. Bagaimana mungkin kedua-duanya bisa mengambil satu tempat yang sama. 

Terkadang terlintas di fikiran. Bukankah itu sifat syaitan yang selalu membisik ke telinga tetapi bersembunyi dari nyata. 

Kemudian datang pula fikiran, lalu malaikat itu bagaimana? Malaikat juga tidak kelihatan dan sentiasa mengajak kepada kebaikan. Ku ingin jadi seperti itu. 

Tidak mahu dikenali. Hanya mahu membawa arus kebaikan. Hanya mahu menjadi pencetus budaya mulia. 

Kenapa begitu? Apa salahnya dikenali? Soalnya yang mahu dibawa itukan kepada hal-hal yang baik? Jadi di mana buruknya? 

Kerana ku bukan manusia sempurna. Pada diriku, pada jiwaku masih terlalu banyak cacat celanya. Masih banyak dosa. Masih banyak yang mahu ku perbaiki. Manusia hanya melihat dan mendengar luaranmu, cetusanmu lalu menilai dirimu. Ku tidak mahu dinilai baik dan mulia, ku juga tidak mahu dinilai keji dan hina. 

Ku hanya ingin menjadi hamba Dia. 

Memberi Kehidupan Baru Buat Meraih Kehidupan Baru

Inilah antara tips untuk meraih hidup baru buat diri sendiri. Dengan memberi kehidupan baru kepada yang lain. Boleh jadi manusia. Boleh jadi haiwan. Boleh jadi juga tumbuhan. 

Dan ku memilih tumbuhan. Mungkin lebih mudah berurusan dengan makhluk yang tidak bersuara dan hanya mendengar. 

Pokok kekal di tempatnya melainkan ada yang memindahkannya. Pokok setia. Pokok tidak kan lari. Jika tidak demikian pasti ku buka langkah seribu 😝. 

Pokok juga bertindak balas. Pokok bisa memberi dan membalas cinta. Hanya saja ia tidak bisa berkata-kata. 

Menggapai Dirimu Walau Mustahil Ku Takkan Berhenti

Sejenak masa hadir memberi peluang kita saling mengenal. Walau singkat hati terpaut. 

Namun kau berubah pandangan dan beralih arah. Anehnya ku tak merasa kecewa bahkan semakin kuat mencinta. Pengalaman baru buatku. Merasai cinta yang tak putus asa. 

Sering buatku tersenyum. Sering membuat hati rindu. Sering mengundang hati mendoakan kebaikan buat dirimu. 

Semoga Allah menjagamu selalu.